Wednesday, December 29, 2010

Kata Aluan Guru Besar 2011


Bidang pendidikan sentiasa berhadapan dengan masa depan yang dinamik dan kian mencabar. Ia menuntut kita agar menyediakan perancangan yang rapi, sistematik dan holistik. Justeru, saya menyeru setiap warga sekolah agar sama-sama mendukung cita-cita dan menyimpan hasrat untuk menjadikan kualiti pendidikan yang disalurkan kepada anak-anak didik kita sebagai yang terbaik.

Adalah menjadi hasrat Kementerian Pelajaran Malysia supaya sistem pendidikan di negara kita mencapai taraf dunia. Sistem yang dimaksudkan itu tidak hanya tertumpu kepada pembangunan modal insan berpengetahuan dan berkemahiran sahaja, malah ianya lebih bersifat menyeluruh, progresif, bermoral dan beretika tinggi. Aspirasi negara ini hanya akan dapat dicapai dengan peningkatan tahap produktiviti dan daya saing negara. Kejayaan agenda pembangunan modal insan ini adalah bergantung kepada kualiti sistem pendidikan yang bermula daripada usaha kita di peringkat sekolah.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada seluruh warga Sekolah Kebangsaan Seri Kota yang telah pun memberikan komitmen yang padu semasa pentadbiran saya dalam menterjemahkan visi ini ke dalam satu perancangan untuk dilaksanakan di peringkat sekolah dan seterusnya mencatatkan kecemerlangan pada sesi 2010 baru-baru ini. Saya amat yakin Buku Perancangan Pengurusan Sekolah Kebangsaan Seri Kota 2011 kali ini akan dapat dijadikan garis panduan kepada seluruh warga sekolah supaya segala dasar, program dan aktiviti pendidikan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lebih jayanya. Seterusnya, mampu mengorak langkah untuk melakar legasi kecemerlangan yang lebih lagi pada tahun ini.

Akhir kata, adalah menjadi harapan saya agar seluruh warga sekolah akan memainkan peranan masing-masing dalam memastikan anak-anak didik di sekolah kita ini lahir sebagai generasi muda yang tanggungjawab untuk membentuk generasi negara yang berwibawa, berpengetahuan, berkemahiran dan berktrampilan. Justeru, adalah menjadi harapan saya agar seluruh warga sekolah dapat mencurahkan komitmen yang lebih lagi di bawah kepemimpinan guru besar yang baru bagi memastikan agenda pendidikan negara ini akan terlaksana.

Bersama-samalah kita berusaha menjana modal insan kelas pertama demi membina negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang selaras dengan hasrat gagasan 1Malaysia.