Thursday, January 1, 2009

Kata Aluan Guru Besar

Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Bidang pendidikan kini yang kian mencabar, memerlukan setiap sekolah membina perancangan yang rapi, sistematik dan holistik. Justeru, saya menyeru setiap pihak yang terlibat di sekolah ini khasnya, agar sama-sama mengambil tindakan yang proaktif dalam mendukung cita-cita dan aspirasi tersebut yang seterusnya menjadikan sistem pendidikan ini sebagai yang terbaik dan menjadi teras perjalanan sekolah.


Usaha kolaboratif setiap pihak, terutama warga sekolah ini yang sentiasa berkesanggupan untuk menggembeleng tenaga mampu menjayakan setiap aktiviti dan program yang dirancang dalam memperkemaskan serta memantapkan lagi pelaksanaan proses pembinaan modal insan secara menyeluruh dan berterusan agar berupaya menghasilkan pengeluaran yang memenuhi kehendak Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan dan selaras dengan hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia.


Sesungguhnya, walaupun ia mengambil masa yang lama untuk menampakkan hasil, namun sistem pendidikan yang berwibawa akan menghasilkan modal insan berminda kelas pertama. Bagi mencapai matlamat tersebut, memerlukan pihak kita di peringkat sekolah rendah untuk memulakan pendekatan terbaik bagi menyediakan pendidikan yang berkualiti demi mencapai tahap cemerlang seiring dan seterusnya berkesinambungan dengan kecemerlangan yang bakal dijana di peringkat menengah dan institusi pengajian tinggi.


Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua warga sekolah yang telah sama-sama berusaha dengan gigih dalam menghasilkan buku pengurusan Sekolah Kebangsaan Seri Kota 2009 yang komprehensif ini dan bakal digunakan sebagai garis panduan untuk melaksanakan setiap aktiviti dan program yang dirancang. Pemantauan, penilaian dan penambahbaikan akan terus menjadi elemen yang akan ditekankan dalam kitaran perancangan bagi tujuan melonjakkan kecemerlangan selaras dengan sistem pendidikan negara.



Terima kasih.


HJ. MOHAMAD BIN ISMAIL

Guru Besar

Sekolah Kebangsaan Seri Kota

Kota Bharu, Kelantan